Perlawanan Terakhir


Hampir setiap perlawanan aku menyapu bersih segala pertaruhan. Sememangnya aku seorang juara yang sukar ditumpaskan. Bukannya aku kebal, tetapi nasib sentiasa menyebelahi aku. Ketawa besar aku melihat lawan yang kecundang dengan wajah yang penuh kehampaan. Teknik-teknik rahsia yang aku gunakan selama ini tak lut dengan setiap serangan. Dengan angkuhnya aku mengaku bahawa akulah seorang Jagoan.

Tibalah suatu hari, aku dicabar pesaing yang hebat. "Jaga-jaga Faizol, dia jaguh kelas sebelah," pesan rakanku. Sebenarnya inilah saat yang ditunggu-tunggu. Seorang jagoan bertemu jagoan. Kami bersemuka dan menunjukkan kemahiran masing-masing. Terperanjat aku melihat barang permainannya. Aku sendiri tidak yakin dapat menewaskannya. Apabila cabaran sudah disahut, aku tidak mampu menarik balik. Lawan tetap lawan.

Kami berhitung lima pusingan dan secara keseluruhan aku yang kalah. Pemadamnya terlalu besar dan sekali gerak sahaja sudah mampu menindih pemadamku. Aku ditertawakan. Sebenarnya perlawanan ini langsung tidak adil. Aku tiada peluang langsung dengan pemadam yang kecil. Segala pertaruhan habis dikaut. Sedih bila melihat pemadam kesayanganku turut dirampas. Aku hanya merelakan dengan apa yang terjadi. Itulah saat terakhir aku bermain permainan tersebut.

Lawan aku sungguh gembira dan ketawanya yang kuat didengari oleh guru kelas belakang. Guru tersebut menyerbu ke kelas aku lalu merampas kesemua pemadam yang ada. Kasihan aku melihat wajah lawanku yang belum sempat merai kemenangan. Bagi aku, tiada siapa yang menang dalam perlawanan tersebut.  Berbelas tahun peristiwa itu berlaku. Segalanya tinggal kenangan. Adakah permainan ini masih diteruskan oleh generasi sekarang? Jawapannya 'Ya' selagi pemadam tidak pupus di dunia.


lawan pemadam



4 yang bergurau:

A berkata...

eh eh , kita pun dulu suka main pemadam neh . :DDD

Papa REN berkata...

ye ke? sama la kita

A berkata...

haha . tapi bila dah naik form 5 ni macam segan lak nak main . huhu . :D

Papa REN berkata...

ala.. main je